Rahsia Resepi Ayam Percik Yang Enak

27 December 2022 997

Resepi Ayam Percik
Ayam Bakar Percik

Bahan-bahan kisar untuk perapan

  • 5-7 biji bawang merah
  • 4-6 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 batang serai
  • garam

Bahan Utama

  • 1 ekor ayam

Bahan Kuah Ayam Percik

  • 3 cawan santan pekat
  • 8-10 biji bawang merah
  • 1/2 inci halia
  • 2 batang serai
  • 3-5 tangkai cili kering
  • 2-3 keping asam keping
  • gula
  • garam
  • 1 Collapse

    Penyediaan Ayam


    • 1. Potong ayam kepada potongan 4 atau 8. Biasanya ayam percik dibakar mengikut saiz yanga agak besar supaya rasa ayam lebih berjus dan tidak mudah kering.
    • 2. Basuh dan bilas ayam kemudian toskan air sehingga kering. Ketepikan ayam sementara anda menyediakan bahan perapan.
    • 3. Untuk perapan, bahan seperti bawang merah, bawang putih, halia, dan juga serai perlu dikisar lumat sehingga halus teksturnya. Tambahkan sedikit air sebelum mengisar supaya bahan mudah lumat. Jangan lupa masukkankan sedikit garam bagi menambahkan rasa masin.
    • 4. Masukkan bahan yang dikisar lumat ke dalam bekas yang bersesuaiaan untuk memerap ayam. Gaulkan ayam yang dibasuh tadi bersama bahan perapan. Perap ayam selama 1 jam. Lagi lama ayam diperap lagi enak rasanya nanti. Sementara menunggu ayam diperap, jom sediakan kauah percik pula.
  • 2 Collapse

    Cara memasak kuah Ayam Percik


    • 1. Untuk kuah percik pula, anda perlu mengisar bawang,merah, bawang putih, halia dan lada kering yang sudah dibuang biji dan direbus. Tambahkan sedikit air dan kisar bahan tersebut sehingga lumat.
    • 2. Sediakan periuk dan masukkan bahan yang telah diksar tadi bersama dengan santan. Panaskan dengan api sederhana. Anda perlu sentiasa kacau kuah supaya ianya tidak berketul. Kacau sehingga sebati dan pecah minyak. Masukkan asam keping untuk menambahkan rasa masam.
    • 3. Anda boleh perasakan dengan sedikit garam dan gula mengikut citarasa anda. Apabila sudah menjadi pekat, kuah boleh diangkat. Anda boleh teruskan ke proses membakar pula.
  • 3 Collapse

    Cara membakar Ayam Percik.


    • 1. Sebenarnya ada beberapa cara untuk memastikan ayam percik ini masak sepenuhnya. Anda boleh mengunakan kaedah kukus, masak dahulu bersama kuah, dibakar terus , ataupun dibakar menggunkan pemanggang ajaib.
    • 2. Anda boleh memilih kaedah kegemaran anda. Yang penting langkah seterusnya lebih kurang sama untuk semua teknik. Sebelum mula membakar, celup atau lumur dahulu ayam kedalam kuah percik. untuk lebih teratur, anda boleh bahagikan dahulu kuah percik kepada 2 bahagian, satu untuk digunakan ketika membakar, dan satu lagi untuk hidangan setelah ayam masak.
    • 3. Bakar ayam sehingga isi luar garing dan isi dalam menjadi putih. Jika ayam yang dibakar agak kering, sentiasa lumurkan dengan kuah percik. Terbalikkan ayam dan ulangi langkah melumuri ayam dengan kuah percik.
    • 4. Jika ayam sudah siap dibakar, pindahkan ke dalam bekas yang agak dalam seperti mangkuk besar. Tuangkan kuah percik yang telah diasingkan tadi keatas ayam sehingga melitupi sebahagian besar ayam. Ayam percik anda sedia untuk dihidang. Selamat menjamu selera.

Apa rahsia ayam percik yang enak? Dan yang lagi penting, macam mana cara memasak ayam percik yang enak? Jom kami kongsikan dengan anda cara untuk memasak ayam percik sehingga keluarga dan rakan anda tidak berhenti memuji keenakan ayam percik hasil air tangan anda.

Ayam percik adalah antara resepi ayam yang amat popular pada bulan Puasa. Bau harum kuah percik membuatkan perut anda terpikat. Beratur panjang dibazar ramadan pun tidak mengapa. Ditambah pula dengan tekstur isinya yang berjus, dan kulit luar yang garing dibakar, penantian azan Magrib anda akan menjadi lebih lama.

Tetapi itu jika dibulan Puasa. Bagaimana pula jika anda atau orang terdekat anda mengidam untuk makan ayam percik bukan pada bulan Ramadan. Bazar Ramadhan sudah tentu tiada, tambahan pula jarang-jarang kedai yang menyediakan menu ayam percik ni. Apa lagi pilihan anda? Jom cuba masak ayam percik!

Untuk memasak ayam percik, saiz ayam yang digunakan agak besar. Biasanya seekor ayam dipotong kepada 4 atau 8 bahagian. Sebelum membeli ayam, anda boleh pesan kepada penjual supaya potong ayam untuk tujuan bakar percik. Biasanya penjual ayam lagi arif tentang potongan ayam bagi tujuan maskan tertentu.

Basuh ayam yang dipotong sehingga bersih. Keringkan air ayam dahulu dan kemudian ketepikan sementara anda menyediakan bahan perapan.

Bahan yang digunakan untuk memerap ayam agak ringkas. Anda perlu mengisar bawang merah, bawang putih, halia dan juga serai sehingga lumat. Jangan lupa masukkan sedikit air sebelum mengisar supaya bahan mudah lumat dan tekstur bahyan sedikit cair.

Kemudian masukkan bahan kisar tadi kedalam bekas bersama ayam dan gaul sehingga sebati. Perap ayam dalam jangkamasa paling kurang 30 minit hingga 1 jam. Lagi lama ayam diperap, lagi terasa bahan perapan meresap hingga ke isi dalam.

Sementara ayam diperap, jom sediakan kuah percik pula. Untuk kuah percik anda juga perlu mengisar sebahagian bahan-bahannya. Bahan yang perlu dikisar adalah seperti bawang merah, bawang, halia, serai dan juga cili kering. Cili kering perlu dibuang biji dan direbus dahulu sebelum dikisar. Masukkan sedikit air sebelum mengisar supaya bahan mudah lumat. Kisar bahan sehingga halus teksturnya.

Kuah percik perlu dimasak dahulu. Masukkan bahan yang telah dikisar tadi ke dalam periuk dan tambahkan santan. Panaskan dengan api sederhana dan kacau sehingga pecah minyak. Sentiasa kacau kuah supaya ianya tidak berketul. Masukkan asam keping untuk menghasilkan rasa masam. Perasakan dengan sedikit garam dan gula mengikut citarasa anda. Jika rasa masam kuah sudah menepati citarasa anda, asam keping tadi sudah boleh dikeluarkan. Kacau sehingga kuah pekat dan masak.

Ada pelbagai cara untuk memasak ayam percik. Anda boleh gunakan teknik seperti mengukus dahulu, masak ayam bersama kuah percik, ayam dibakar terus, ataupun bakar menggunakan pemanggang ajaib.

Untuk memastikan ayam betul-betul masak, teknik kukusan biasanya digunakan. Kebanyakan peniaga bazar ramadan menggunkan teknik ini. Ayam yang telah siap diperap tadi dikukus dahulu didalam pengukus sehingga masak. Kemudian ayam dicelup atau dilumuri dengan kuah percik dan dibakar. Bakar ayam sehingga kulit luar ayam garing. Anda sudah tidak perlu risau tentang isi dalam kerana ianya sudah masak ketika proses kukusan tadi. Sentiasa jaga api supaya ayam anda tidak hangus dan isi ayam tidak menjadi kering. Balik-balikkan ayam dan lumur dengan kuah percik jika ayam kelihatan kering.

Selain teknik kukusan, teknik masak bersama kuah percik juga sering digunakan. Kelebihan teknik ini ialah rasa kuah percik lebih terasa hingga kedalam isi ayam. Ayam yang diperap tadi dimasak dahulu bersama kuah percik sehingga separuh masak. Kemudian ayam perlu dibakar seperti biasa. 

Ada juga yang menggunakan kaedah bakar terus diatas dapur arang selepas proses perapan. Teknik ini menghasilkan rasa ayam bakar yang lebih asli. Kaedah ini memerlukan penjagaan api yang lebih rapi. Ini penting bagi mengelakkan ayam hangus dibahagian luar sementara bahagian dalam masih kemerahan dan mentah. Saiz ayam yang besar juga memerlukan teknik pembakaran yang betul bagi memastikan ayam benar-benar masak.

Penggunaan pemanggang ajaib juga sering menjadi pilihan untuk memasak ayam percik ini. Teknik ini membantu ayam masak dengan lebih sempurna dalam waktu yang lebih singkat berbanding panggang diatas dapur arang.

Jadi, apa teknik memasak ayam percik kegemaran anda? Tidak kisahlah apapun pilihan anda, yang penting ayam percik yang anda masak enak untuk dinikmati.

Untuk senarai bahan-bahan yang lengkap dan juga langkah-langkah penyediaan yang lebih terperinci, jom kita semak di bawah. Sebelum itu, apa kata anda kongsikan dahulu resepi ini dengan keluarga atau rakan rakan , supaya mudah bagi mereka menyemak bersama bahan-bahan yang anda perlukan.