Resepi Tom Yam Ayam Simple, Mesti Cuba!

17 May 2023 1057
Resepi Ayam
Resepi Tom Yam Ayam simple

Mari cuba resepi yang mudah dan ringkas ini, Resipi Tom Yam Ayam Simple!

Bagi anda yang gemar makan sup dan juga tom yam, resepi ini wajib anda tahu.

Resepi yang sangat mudah untuk dicuba dan juga menggunakan bahan-bahan yang mudah untuk didapati.

Sesuai dijadikan pilihan jika anda tak nak masak lauk yang rumit-rumit.

Tom yam ayam bunyi macam susah nak masak, tapi bila anda dah ikut resepi ini, anda pasti tak percaya yang cara masak tom yam ini simple sahaja.

Jom tengok cara masak dan bahan-bahan yang anda perlukan untuk masak tomyam ayam simple ini.

Bahan-bahan Tom Yam Ayam Simple

  • 1/2 ekor ayam
  • 1-2 sudu pes tomyam
  • 2-3 ulas bawang putih
  • 1/2 inci lengkuas
  • 1-2 batang serai , diketuk
  • 1 biji bawang besar
  • 2 biji tomato
  • lobak merah
  • bunga kobis
  • 2-4 helai daun limau purut
  • 2-3 biji limau nipis ( Ambil perahan airnya)
  • garam
  • gula
  • serbuk perasa
  • 1 Collapse

    Cara masak tom yam ayam simple


    • 1. Mula -mula potong ayam kepada saiz kecil mengikut kegemaran anda. Basuh dan bilas ayam kemudian toskan biar kering air.
    • 2. Sediakan periuk yang bersesuaiaan untuk masak tom yam ayam. Masukkan air secukupnya. Jangan terlalu banyak nanti kuah terlalu cair dan rasa tawar.
    • 3. Masukkan pes tom yam, bawang putih yang diketuk, lengkuas dan juga serai. Masak sehingga kuah mendidih.
    • 4. Kemudian masukkan air perahan limau nipis mengikut rasa masam yang anda mahukan. Perasakan dengan garam dan juga gula. Anda juga boleh masukkan serbuk perasa kegemaran anda jika ada.
    • 5. Jika rasa kuah tomyam anda sudah sempurna, masukkan ayam . Reneh sehingga ayam masak.
    • 6. Jika ayam sudah hampir masak, masukkan pula lobak merah, bunga kobis dan juga daun limau purut. Carik-carikkan sedikit daun limau purut supaya aromanya lagi terasa.
    • 7. Akhir sekali masukkan tomato dan juga bawang besar. Masak sekejap sahaja jangan sampai tomato lembik dan hancur. Tom yam Ayam anda sudah boleh diangkat. Simple kan!

Tidak seperti masakan lain yang perlu ditumis dahulu, contohnya ayam masak merah ataupun ayam masak kicap, cara masak tom yam ayam ini campak-campak sahaja, kemudian tunggu masak. rasanya pun sedap.

Masakan tomyam merupakan masakan yang berasal dari negara jiran kita iaitu Thailand. Masakan thai sangat popular di negara kita kerana rasa masakan mereka menepati citarasa kita rakyat Malaysia.

Tom yam ayam sering dijadikan hidangan makan tengahari dan juga makan malam. Sangat sedap dimakan dengan nasi putih panas-panas.

Jika makan di kedai masakan panas, tom yam ayam sering dipadankan dengan sayur kailan ikan masin ataupun kangkung goreng belacan, ayam goreng kunyit dan juga telur dadar. Kalau nak sedap lagi, anda boleh makan dengan sambal belacan, memang menambah nasi nanti.