Resepi Ayam Bakar Madu: Rasa Asli Pasar Malam

16 December 2022 4807
Resepi Ayam
Resepi ayam bakar madu
Ayam Bakar Madu Ala Pasar Malam

Bahan-bahan Ayam Bakar Madu

  • 1/2 ekor atau 600gm ayam
  • 4-6 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 1/2 inci halia (ditumbuk)
  • 2-4 sudu besar sos tiram
  • 2-4 sudu besar madu
  • 2-3 sudu besar gula perang
  • 1-2 sudu gula pasir
  • 2-3 sudu besar sos cili
  • 1-2 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • garam
  • 1 Collapse

    Cara memasak Ayam Bakar Madu


    • 1. Potong ayam kepada bahagian kecil kecuali jika anda beli bahagian sayap atau bahagian-bahagian tertentu yang telah dipotong kecil. Basuh ayam sehingga bersih kemudian bilas dan toskan air biar kering. Ketepikan dahulu sementara menyediakan bahan perapan.
    • 2. Tumbuk bawang putih dan halia sehingga lumat dan halus. Jika anda menggunakan lada hitam dalam bentuk biji dan bukannya serbuk, anda bolehlah tumbuk sekali dengan bahan tadi.
    • 3. Sediakan bekas yang boleh memuatkan ayam supaya senang untuk memarap nanti. Masukkan kesemua bahan-bahan termasuk bahan yang telah ditumbuk halus tadi ke dalam bekas tersebut, kecuali ayam. Gaul bahan-bahan sehingga sebati. Anda boleh rasa sedikit bahan perapan dan tambah garam jika perlu. Anda juga boleh lebihkan atau kurangkan bahan-bahan sos seperti sos tiram dan sos cili mengikut citarasa anda.
    • 4. Kemudian masukkan ayam yang telah dibasuh bersih tadi kedalam bekas bahan perapan tersebut. Gaul ayam dan bahan perapan sehingga sebati. Pastikan kesemua bahagian ayam dilumuri dengan bahan perapan supaya rasa perapan meresap masuk sehingga ke isi.
    • 5. Perap ayam dalam jangkamasa paling kurang 30 minit. Untuk rasa yang lebih lazat, perap ayam semalaman dan simpan didalam peti.
    • 6. Setelah ayam siap diperap, anda boleh bakar ayam mengikut kaedah membakar yang anda gemari seperti menggunakan ketuhar(oven), pemanggang ajaib ataupun dibakar diatas dapur arang.
    • 7. Untuk kaedah membakar dengan oven, anda boleh laraskan suhu kepada 150 hingga 180 darjah celcius dan dibakar selama 15 - 20 minit.
    • 8. Bakar ayam sehingga bahagian isi luar sedikit garing dan warna isi ayam menjadi putih. Untuk memastikan ayam anda benar-benar masak, anda boleh hiris sedikit ayam sehingga ke bahagian isi dalam. Jika cecair ayam bahagian isi sudah jernih dan bukannya bewarna sedikit merah, dan keseluruhan isi sudah putih, itu menandakan ayam anda sudah masak.
    • 9. Angkat ayam anda dan sediakan didalam bekas yang bersesuaian. Ayam bakar madu anda sedia untuk dinikmati. Selamat menjamu selera!

Anda mencari resepi Ayam Bakar Madu ala pasar malam? Jom kami kongsikan dengan anda resepi ayam bakar madu rasa asli seperti pasar malam. Tiba-tiba mengidam nak makan ayam bakar madu, tapi malas la pula nak tunggu dan pergi ke pasar malam kan. Jangan risau, sekarang anda boleh menikmati ayam bakar tanpa perlu ke pasar malam.

Ayam bakar madu ni begitu sinonim dengan pasar malam, lebih-lebih lagi kalau bulan puasa, kena beratur panjang kalau nak membelinya. Ayam bakar madu sedikit berbeza dengan ayam bakar lain. Tekstur luarnya yang nampak sedikit berminyak ataupun berkilat setelah dilumuri madu, dan sedikit garing dan terbakar mampu menarik perhatian sesiapa saja, lebih-lebih lagi penggemar ayam bakar. Ditambah pula dengan rasanya yang manis-manis pedas, cukup menggambarkan gabungan madu dan bahan-bahan perapan yang sempurna.

Ayam bakar madu ini biasanya dimakan begitu saja, kadang-kadang dihidangkan bersama dengan nasi kerabu. Sekali anda mengadap makan ayam bakar madu, sampai licin tidak tinggal sisa nanti, silap-silap tidak cukup.

Selain ayam bakar madu, terdapat pelbagai koleksi ayam bakar lagi yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Antara banyak-banyak resepi, 3 resepi ini yang paling popular iaitu Ayam Bakar Simple, Ayam Bakar Berempah dan juga Ayam Bakar Barbeque (BBQ). Rugi jika anda tidak masukkan resepi-resepi ini ke dalam koleksi resepi ayam anda. Jika tidak kesemuanya, resepi ayam bakar madu yang kami ingin kongsikan ini wajib anda cuba.

Sebelum anda memasak, jangan lupa kongsikan dengan insan terdekat anda, kongsikan di Facebook ataupun Whatsapp, boleh lah mereka cuba juga, takpun biar mereka masak untuk anda.

Cara menyediakan resepi ini sangat ringkas, hanya perlu memerap ayam dan kemudianya membakar. Rahsia keenakan ayam bakar madu ini tentulah terlatak pada bahan perapannya. Bahan-bahan untuk menyediakan perapan pula mudah didapat dan tidak menggunakan bahan yang rumit. Anda boleh semak senarai lengkap bahan-bahan yang diperlukan dibawah.

Anda boleh potong ayam kepada bahagian kecil kerana ayam bakar madu lebih sedap jika bersaiz kecil. Selain itu, ayam bakar madu juga sangat enak jika menggunakan bahagian sayap. Anda boleh beli bahagian sayap sahaja untuk resepi ini tetapi harganya sedikit berbesa dengan harga seekor ayam.

Untuk bahan perapan, tumbuk halus bawang putih dan juga halia. Jika anda tidak menggunkan serbuk lada hitam, anda boleh tumbuk sekali biji lada hitam bersama bawang putih dan halia tadi. Biji lada hitam yang ditumbuk mempunyai rasa yang lebih asli berbanding serbuk lada hitam.

Kemudian anda boleh gaulkan kesemua bahan didalam bekas yang sesuai untuk memerap ayam nanti. Masukkan ayam dan gaul sehingga bahan perapan melumuri kesemua bahagian ayam. Untuk rasa yang lebih enak, anda disarankan untuk memerap ayam semalaman didalam peti sejuk. Jika anda ingin memasak segera, memadai ayam diperap dalam jangkamasa paling kurang 30 minit.

Anda boleh memilih kaedah membakar kegemaran anda. Ayam bakar madu ini boleh dibakar menggunakan ketuhar(oven), pemanggang ajaib mahupun dibakar menggunakan dapur arang. Untuk rasa ayam bakar madu yang asli, pilihan nombor satu tentulah dapur arang. Tapi jika anda mempunyai kekangan untuk menggunakan dapur arang, bakar menggunakan ketuhar pun tidak kurang enaknya. 

Bakar ayam sehingga bahagian luar sedikit garing terbakar dan bahagian isi dalam menjadi putih. Pastikan pastikan bahagian isi dalam ayam tiada yang berwarna merah dan cecair isi ayam jernih bila anda menghirisnya. Ia menandakan ayam anda dibakar masak sempurna.

Untuk langkah penyediaan yang lebih terperinci, jom semak dibawah.